Kenapa dan mengapa perlu mandi untuk rawatan dan belajar ilmu mengenal diri mengikut kaedah Alam Diri ini?
Bangun dari tidur, kita mandi, tengahari terasa panas, kita mandi. Balik dari bekerja, kita mandi. Selepas bersih dari haid dan nifas diwajibkan mandi bagi wanita. Selepas berjimak wajib mandi. Ini menunjukkan bahawa mandi itu adalah untuk tujuan penyucian diri.
Bolehkah kita tidak mandi dalam beberapa hari? Apakah kita selesa dengan meninggalkan mandi untuk beberapa hari itu? Tentu sekali tidak selesa, selain terasa panas kita juga merasa diri kotor. Dalam kaedah Alam Diri, setelah mandi penyucian diri, diri akan bersih dan suci dan dengan keadaan bersih dan suci itulah lebih mudah untuk ilmu mengalir masuk. Mandi ini juga adalah kerana mengingati hari mandi ketika mayat kita dimandikan sebelum dikebumikan nanti. Dan mayat kita tidak akan keras ataupun kejung semasa dimandikan disebabkan kita sudah memandikan jasad kita ketika kita hidup.
KelazimanNya kita melihat sendiri samaada saudara-mara kita atau orang lain, semasa mayatnya dimandikan kelihatan keras atau kejung. Ini adalah kerana zahir & batin masih lagi tidak dapat mengenal dan kenal sesama sendiri. Zahir begitu sombong dan angkuh untuk mengenal dan kenal diri batin. Sedangkan tiada nyata zahir tanpa diri batin. Jadi dalam kaedah Alam Diri ini, sebenarnya kita merapatkan hubungan yang telah terpisah sekian lama. Kita telah lupa pada diri batin disebabkan keduniaan yang terlalu menebal hingga tertutup diri batin itu sendiri. Jadi jalanNya adalah dengan cara penyucian. Bila kita sudah pun suci maka diri batin mula atau akan memberi rasa pada diri zahir. Bahawa Aku sudah nyata pada diri (zahir) kamu. Sebab Allah swt itu maha suci.
Mandi yang dimaksudkan dalam kaedah Alam Diri ini bukanlah seperti mandi biasa, mandi sunat mahupun mandi wajib. mandi yang dimaksudkan adalah mandi dengan kaedah tertentu dengan menggunakan bahan-bahan seperti limau nipis atau limau purut, bunga kenanga atau bunga cempaka putih, minyak attar kasturi dan sedikit kemenyan dengan jumlah tertentu dan dengan bacaan tertentu serta langkah demi langkah yang telah disusun rapi.
Limau Nipis Untuk Mandi
Limau nipis atau nama botaninya citrus aurantifolia. Pohon limau nipis boleh mencapai ketinggian hingga 4 meter, lebih pendek dari limau purut. Buahnya berbentuk bulat sebesar bola ping pong dengan kulit luar berwarna hijau, setelah tua menjadi kuning. Seperti buahnya yang kecil, bunganya pun berukuran kecil-kecil berwarna putih. Rasa masam pada limau nipis dan semua jenis limau lainnya, berperanan pembuang toksin terbesar dibandingkan buah-buah lain. Rasa masam dan unsur pectin yang terkandung di dalamnya membantu menghilangkan racun-racun dalam tubuh.
Jin adalah makhluk ciptaan Allah yang berkongsi hidup dengan manusia dibumi ini. Mereka berjisim halus tidak seperti manusia yang berjisim kasar, oleh kerana itu golongan mereka ini tidak dapat dilihat bagaimanakah hal keadaan jisimnya dengan penglihatan mata kasar manusia.
Oleh kerana mereka juga berjisim maka tubuh mereka juga akan bertindakbalas dengan jisim-jisim yang lain. Sebab itulah tubuh mereka akan mudharat apabila terkena air limau sebagaimana mudharatnya tubuh kasar kita ini apabila direndam dengan air limau dalam kuantiti yang banyak. Bukankah sesuatu akan mengalami hakisan apabila direndam dalam cecair yang mempunyai kepekatan asid yang tinggi? Begitulah yang akan terjadi pada tubuh jin yang akan terhakis atau hancur apabila dikenakan dengan air perahan limau walaupun dalam kadar kuantiti yang sedikit kerana tubuh mereka berjisim halus.
Maka, air perahan limau adalah alat ampuh yang dapat memudharatkan tubuh jin sehingga mereka terpaksa merasai pengalaman sakit yang tidak terhingga apatah lagi bila ianya disertakan dengan doa dan permohonan tertentu. Mandi limau berkesan untuk memudharatkan tubuh jin yang bersarang dalam tubuh penghidap gangguan jin sehingga tubuhnya bersih dari di huni jin.
Bunga Untuk Mandi
Khasiat mandi bunga berkesan secara saintifik untuk menyeimbangkan kembali aura tubuh dan merangsang kembali organ-organ dalaman dan sistem tubuh badan yang telah dirosakkan oleh jin sehingga pulih seperti biasa.
Minyak Attar Kasturi Untuk Mandi
Berdasarkan kajian yang dibuat oleh ilmuwan Islam terutamanya Imam Ibnu Qayyim Al-Jauziyyah R.A. dan ahli-ahli perubatan Islam, maka attar kasturi didapati mempunyai banyak khasiat, antaranya:-
- Memberi kekuatan pada roh
- Menenangkan Jiwa
- Mencerdaskan akal dan menyihatkan otak
- Menghilangkan ketakutan dan kebimbangan
- Menghilangkan debaran jantung
- Menghilangkan Sesak Nafas
- Melegakan Lelah (Asma)
- Menyedarkan orang yang pengsan/kerasukan
- Memperkuatkan organ luaran tubuh
- Memperkuatkan organ dalaman tubuh
- Menghilangkan rasa gementar
- Menghilangkan sejuk tubuh
- Membuang angin yang berlebihan dalam tubuh
- Menghilangkan kesakitan sewaktu kencing
- Menjernihkan mata putih pada mata
- Berfungsi memelihara kesihatan secara keseluruhan
- Mencegah wabak penyakit
- Jin tidak suka bauan kasturi
- Mendapat keredhaan Allah SWT, menyukakan para malaikat dan orang-orang soleh, dan sebaliknya dapat mengusirkan syaitan dan kuncu-kuncunya.
Menurut Imam Syafie R.A. bahawa antara perkara yang dapat menguatkan badan jasmani ialah dengan mencium bau-bauan yang harum (seperti kasturi).
Haruman adalah santapan roh, manakala kasturi adalah merupakan sewangi-wangi dan sebaik-baik haruman sebagaimana sabda Nabi SAW:
“Sebaik-baik wangian adalah minyak kasturi” (Hadis Riwayat Muslim). Walau bagaimanapun, ada cara dan kaedah tertentu, bagaimana ianya dapat digunakan untuk mendapatkan khasiatnya itu...
Air Sebagai Bahan Utama Mandian
Menurut fakta saintifik, air adalah alat perakam terbaik kerana ketepatannya apabila disukat pada dasarnya. Air sebenarnya berkebolehan merakam gema getaran samada dari bunyi termasuk kata-kata dan juga dari niat kita. Oleh itu air bukan saja dapat membersihkan dan menyegarkan kembali keadaan badan tetapi ia juga dapat merakam ayat-ayat suci Al Quran dan juga doa-doa yang dibacakan padanya sehingga air itu terakam dengan gema getaran yang hebat yang dapat memudharatkan jin.
Menurut fakta saintifik lagi, air mempunyai gelombang bulat yang dapat mencari sasaran tekanan rendah secara rawak tanpa banyak halangan, oleh itu ia dapat membawa masuk tenaga dan gema getaran yang telah terakam samada dari khasiat bunga atau bacaan ayat suci Al Quran meresapi tubuh badan melalui reseptor bulu roma lalu merangsang hormon-hormon didalam badan.
Namun yang paling utama mengapa air digunakan ialah ianya adalah panduan dari Tuhan kita sendiri untuk kemudahan kita dalam menghadapi penyakit yang berpunca dari gangguan jin dan syaitan. Dalam Al Quran Allah SWT telah mengajar kepada kita betapa air telah dijadikan asbab bagi penyembuhan penyakit Nabi Ayyub a.s. Firman Allah SWT yang bermaksud:
Dan ingatlah akan hamba Kami Ayub ketika ia menyeru Tuhannya, "Sesungguhnya aku diganggu syaitan dengan kepayahan dan siksaan". (Allah berfirman): "Hentakkanlah kakimu! inilah air yang sejuk untuk mandi dan untuk minum.” Surah Shaad ayat 41 dan 42
Makanya, dengan tergabungnya khasiat limau, bunga-bungaan, wangian kasturi dan doa-doa yang disatukan ke dalam air yang sejuk menurut tatacara dan kaedah yang khusus, mana-mana penyakit akibat dari gangguan jin dan sihir pun dapat diatasi.
Ada maksud yang tersirat disebalik penggunaan limau, bunga, minyak dan sedikit kemenyan yang terdiri dari bahan-bahan alami itu. Di sini tidaklah akan kami nyatakan secara lengkap demi menjaga kaedah dari ditiru dan diambil kesempatan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab. Hanya mereka yang telah menjalani upacara mandi ini akan tahu kaedah dan rahsianya.