Dari Abu Hurairah r.a. bahawa Nabi Muhammad s.a.w bersabda: "Apabila seorang anak Adam mati putuslah amalnya kecuali tiga perkara: sedekah jariah, ilmu yang memberi manfaat kepada orang lain dan anak yang soleh yang berdoa untuknya."
(Hadith Sahih - Riwayat Muslim dan lain-lainnya)
Kita sering mendengar hadis di atas yang di bawakan oleh ustaz-ustaz kita di TV, Radio di internet dan sebagainya. Persoalannya sekarang adakah kita benar-benar faham apa yang di maksudkan oleh hadis di atas?
Dalam hadis di atas menerangkan bahawa apabila telah meninggalnya seseorang manusia, tiadalah apa apa yang dapat menolongnya kecuali tiga perkara sahaja iaitu:
1. Sedekah jariah yang di berikan semasa hidupnya.
2. Segala ilmu yang baik yang di ajarkan kepada orang semasa hidupnya.
3. Doa anak yang soleh/solehah terhadap ibubapanya yang di tingalkannya.
Ada satu perkara yang diperselisihkan oleh ulamak dari dahulu sampai sekarang iaitu “adakah sampai bacaan ayat-ayat Al Quran yang kita sedekah kepada si mati.” Menurut Imam Syafie dan sebahagian murid dan pengikutnya adalah tidak sampai. Sebahagian yang lain berpendapat adalah sampai sedekah pahala tersebut.
Tawasul
Dalam kehidupan seharian kita, dua perkara terpenting yang wajib kita titik beratkan adalah ibadat dan doa, kerana dua perkara inilah yang menjadi tunjang utama bagi kebahagian kita di dunia dan juga di akhirat. Kehidupan kita seharian pun sebenarnya berlegar antara dua perkara ini: ibadat dan doa. Kepentingan ibadat dan doa ini Allah zahirkan melalui intipati surah Al-Fatihah, iaitu ayat kelima yang juga merupakan ayat terpenting di dalam surah ini.
Hanya kepada Engkaulah kami sembah dan hanya kepada Engkaulah kami meminta pertolongan.
"Sembah" dalam ayat ini bermaksud ibadat, manakala "pertolongan" di sini bermaksud doa. Inilah dua perkara terbesar yang membezakan penghuni syurga dan neraka. Kegagalan memahami maksud ayat ini telah menyebabkan ramai umat Nabi Muhammad saw tersungkur di pintu neraka, walaupun mereka sebenarnya berusaha bersungguh-sungguh untuk ke syurga.
Ayat kelima surah al-Fatihah ini menekankan agar kita mentauhidkan Allah dalam ibadat – ibadat dan doa-doa kita. Mentauhidkan Allah di sini bermaksud mentaati garis panduan yang sudah Allah tetapkan dalam melaksanakan ibadat dan dalam memohon doa. Kekeliruan dalam dua perkara inilah yang wajib kita perbetulkan. Ibadat yang kita lakukan itu wajib berlandaskan sunnah, kerana salah faham tentang ibadat menyebabkan kita melakukan bidaah, iaitu pembaharuan atau penambahan dalam ibadat. Apabila berdoa, wajib kita panjatkan doa itu terus kepada Allah, dan jika kita gagal mengEsakan Allah dalam berdoa menyebabkan kita melakukan tawassul, iaitu menggunakan perantara dalam memohon doa.
Apakah itu Tawassul?
Tawassul adalah perbuatan menggunakan perantaraan dalam berdoa. Perantaraan di sini bermaksud menggunakan "orang tengah" atau benda untuk membolehkan sesuatu hajat kita ditunaikan oleh Allah swt. Yang digunakan sebagai perantara itu dipanggil wasilah, iaitu sesuatu perkara yang dapat menyampaikan atau mendekatkan kita pada sesuatu. Sebagai contoh, ada kalangan masyarakat kita yang menggunakan Nabi, Malaikat atau wali-wali sebagai wasilah dalam doa mereka.
“Wahai orang-orang yang beriman, bertakwalah kepada Allah dan carilah wasilah untuk mendekatkan diri kepadaNya, dan berjihadlah di jalan-Nya agar kamu beruntung”. - Surah Al Maidah: Ayat 35.
Perkataan wasilah dalam ayat di atas banyak menyebabkan umat Nabi SAW terkeliru, seterusnya terjerumus ke lembah kesesatan. Mereka kata, bukankah ayat ini menyuruh kita mengamalkan tawasul? Itu adalah kerana mereka salah dengan maksud wasilah dalam ayat itu. Apakah yang sebenarnya dimaksudkan dengan perkataan wasilah dalam ayat ini? Kenapakah ada sebahagian golongan agama yang membolehkan tawassul dan segolongan yang lain pula melarang?
Wasilah dalam ayat ini bermaksud "jalan", iaitu kaedah atau cara yang diajar oleh Nabi saw. “Mendekatkan diri kepadaNya” dalam ayat ini bermaksud "beribadat" dan "berdoa" kepada Allah. Kesilapan dalam mentafsir ayat inilah yang menyebabkan ramai umat Nabi saw melakukan syirik. Kekeliruan yang bagaimana yang mengelirukan? Iaitu dengan mengertikan wasilah sebagai orang tengah iaitu ‘perantara’, menyebabkan timbul pula pengertian bahwa untuk sampai atau mendekatkan kepada Allah harus dengan menggunakan perantara. Kemudian direka pula bahawa perantara itu merupakan roh-roh orang yang dianggap suci. Misalnya roh nabi-nabi, wali-wali, para syuhada’ dan orang-orang yang soleh. Kepada roh mereka yang telah meninggal itu, orang-orang yang berwasilah/menggunakan perantara tersebut memohon bantuan agar dapat menyampaikan doa kepada Allah swt. Apakah ini yang dituntut oleh Rasulullah saw?
Sudah tentu tidak. Jika Allah perlukan perantara dalam mengabulkan doa hamba-hambanya, pastilah Dia akan beritahu kepada kita siapakah perantara itu. Sebagaimana Allah beritahu kira dengan jelas di dalam Quran bahawa Nabi Muhammad saw adalah Rasul yang diutuskan untuk menyampaikan syariat Islam yang wajib untuk kita taati. Tapi tidak ada unjuran dari Allah untuk menggunakan sesiapa pun sebagai perantara untuk mendekatkan diri kita denganNya. Tidak ada dalil yang sahih yang mengajar kita bagaimana melakukan wasilah menggunakan perantara-perantara seperti Nabi, Wali dan Malikat. Sebaliknya Allah perintahkan kita berdoa terus kepadaNya. Sebaliknya, ada dalil-dalil yang sahih yang mengajar kita apakah wasilah yang dibenarkan.
Seperti yang dijelaskan dalam Surah Al-Maidah Ayat: 3
"Diharamkan bagimu (memakan) bangkai, darah, daging babi, (daging haiwan) yang disembelih atas nama selain Allah, yang tercekik, yang terpukul, yang jatuh, yang ditanduk dan diterkam binatang buas, kecuali yang sempat kamu menyembelihnya, dan (diharamkan bagimu) yang disembelih untuk berhala. Dan (diharamkan juga) mengundi nasib dengan anak panah, (mengundi nasib dengan anak panah itu) adalah kefasikan. Pada hari ini orang-orang kafir telah putus asa untuk (mengalahkan) agamamu, sebab itu janganlah kamu takut kepada mereka dan takutlah kepada-Ku. Pada hari ini telah Kusempurnakan untuk kamu agamamu, dan telah Ku-cukupkan kepadamu nikmat-Ku, dan telah Ku-redhai Islam itu jadi agama bagimu. Maka barang siapa terpaksa kerana kelaparan tanpa sengaja berbuat dosa, sesungguhnya Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang".
Islam sudah sempurna. Jika sekecil-kecil perkara seperti untuk buang air kecil, makan, minum dan tidur pun Nabi saw ada terangkan caranya, inikan pula perkara besar seperti beribadat dan cara berdoa ini.
Tawassul Adalah Syirik
Tawassul adalah dosa yang paling Allah murka. Pada kebiasaannya, tujuan utama bertawassul adalah kerana mereka merasakan doa mereka tidak didengari Allah kerana merasa diri mereka kotor oleh dosa-dosa yang mereka lakukan. Ini adalah penyakit hati yang ada dalam diri mereka. Apakah penyakit itu? Itulah penyakit "buruk sangka’" kepada Allah. Mereka buruk sangka yang Allah tidak mendengar doa mereka, hanya dengar doa orang-orang tertentu sahaja. Penyakit inilah yang Allah sebut dalam Surah Al-Baqarah Ayat: 10.
Dalam hati mereka ada penyakit, lalu ditambah Allah penyakitnya; dan bagi mereka siksa yang pedih, disebabkan mereka berdusta.
Penyakit yang dimaksudkan dalam ayat ini adalah: penyakit sangka buruk kepada Allah. Kalau kita sangka buruk dengan sesama manusia pun, mereka akan marah, tambahan lagi kalau kita sangka buruk dengan Tuhan kita sendiri.
Dan Allah akan tambah lagi penyakit itu: iaitu mereka akan melakukan syirik. Bagaimana ini boleh terjadi? Apabila ada fahaman yang kena guna perantaraan dalam berdoa, maka lama-kelamaan, mereka akan puja, sembah dan taat kepada perantara itu. Kerana mereka ingat, kalau mereka bodek perantara itu, maka perantara itu akan suka untuk menyampaikan doa kepada Allah. Lama-kelamaan, Allah mereka tak hiraukan dah, mereka akan tumpukan kepada perantara itu sahaja. Inilah asal kepada kesesatan agama-agama yang kafir.
Sebab kedua mereka melakukan tawasul adalah kerana mereka merasakan Allah lebih mendengar dan memakbulkan doa-doa orang tertentu. Sebagai contoh, kalau doa itu dibaca oleh golongan Habib, doa itu lebih makbul lagi. Atau kalau doa itu dibaca oleh guru agama, doa itu lebih makbul lagi.
Mereka yang mengamalkan tawasul ini akhirnya akan menyembah perantara-perantara itu seperti yang disebut dalam Surah Al-Maidah: Ayat 76.
"Katakanlah (wahai Muhammad): “Patutkah kamu menyembah sesuatu yang lain dari Allah, yang tidak berkuasa memberi mudarat kepada kamu dan tidak juga berkuasa memberi manfaat? Padahal Allah Maha mendengar, lagi Maha Mengetahui".
Kesimpulan
Berhati-hatilah wahai muslimin dan muslimat. Agama Islam adalah milik mutlak Allah. Hanya Dia yang layak menentukan segala-galanya. Dia tidak berkongsi dalam mencipta makhluknya, Dia tidak berkongsi dalam membuat hukum-hakam, dan Dia tidak berkongsi dalam mentadbir sekelian alam. Oleh itu, taatlah kepadaNya, beribadatlah kepada Dia semata-mata dan berdoalah kepada Dia sahaja. Kita wajib mengambil-berat perihal agama, kerana kita ditegah melakukan perkara yang kita tidak tahu asal-usulnya.
"Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu memandai-mandai (melakukan sesuatu perkara) sebelum (mendapat hukum atau kebenaran) Allah dan RasulNya; dan bertaqwalah kamu kepada Allah; sesungguhnya Allah Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui". - Surah Al-Hujuraat: Ayat 1.